Sunday, November 27, 2016

Surah Al Mumenoon. Ayat 90-104.

Surah Al-Mumenoon
(Bukanlah sebagaimana tuduhan mereka) bahkan Kami telah membawa kepada mereka keterangan yang benar dan sesungguhnya mereka adalah berdusta. (90) Allah tidak sekali-kali mempunyai anak dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan bersamaNya; (kalaulah ada banyak tuhan) tentulah tiap-tiap tuhan itu akan menguasai dan menguruskan segala yang diciptakannya dengan bersendirian dan tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya yang lain. Maha Suci Allah dari apa yang dikatakan oleh mereka (yang musyrik) itu. (91) (Allah) Yang mengetahui segala yang tersembunyi dan yang nyata; maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah keadaanNya dari segala yang mereka sekutukan. (92) Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhanku, kiranya Engkau hendak memperlihatkan kepadaku (azab) yang dijanjikan kepada mereka (di dunia). (93) Maka wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan daku tinggal dalam kalangan kaum yang zalim itu. (94) Dan sesungguhnya Kami berkuasa memperlihatkan kepadamu azab yang Kami janjikan kepada mereka. (95) Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara yang sebaik-baiknya, Kami Maha Mengetahui apa yang mereka katakan itu. (96) Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan. (97) Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku. (98) Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). (99) Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat). (100) Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka dan tidak pula sempat mereka bertanya-tanyaan. (101) Maka sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. (102) Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka kekal di dalam Neraka Jahanam. (103) Api Neraka itu membakar muka mereka dan tinggallah mereka di situ dengan muka yang hodoh cacat. (104)

Surah Al Mumenoon. Ayat 75-89.

Surah Al-Mumenoon
Dan sekiranya Kami menaruh belas kasihan kepada mereka serta Kami hapuskan kesusahan yang menimpa mereka, nescaya mereka akan tetap terus meraba-raba dalam kesesatan mereka yang melampaui batas itu. (75) Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan mereka dengan azab (di dunia), maka mereka tidak juga tunduk patuh kepada Tuhan mereka dan tidak pula berdoa kepadaNya dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat). (76) Sehingga apabila Kami bukakan kepada mereka sebuah pintu yang menyebabkan azab yang berat, maka mereka serta-merta berputus asa dengan sebabnya dari mendapat sebarang kebaikan. (77) Dan Dialah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur; tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. (78) Dan Dialah yang menciptakan serta mengembangkan kamu di bumi dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan. (79) Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan dan Dialah yang menentukan pertukaran malam dan siang. Maka tidakkah kamu mahu berfikir? (80) (Mereka tidak juga mahu berfikir) bahkan mereka berkata seperti yang dikatakan oleh orang-orang dahulu (yang ingkar). (81) Mereka berkata: Adakah apabila kami telah mati dan kami menjadi tanah dan tulang, adakah kami akan dibangkitkan (hidup semula)? (82) Demi sesungguhnya, kami telah dijanjikan perkara ini kami dan datuk nenek kami dari dahulu lagi; perkara ini hanyalah cerita dongeng orang-orang dahulu-kala. (83) Tanyakanlah (wahai Muhammad): Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui? (84) Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah: Mengapa kamu tidak mahu ingat (dan insaf)? (85) Tanyakanlah lagi: Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar? (86) Mereka akan menjawab: (Semuanya) kepunyaan Allah. Katakanlah: Mengapa kamu tidak mahu bertakwa? (87) Tanyakanlah lagi: Siapakah yang memegang kuasa pemerintahan tiap-tiap sesuatu, serta dia dapat melindungi (segala-galanya) dan tidak ada sesuatupun yang dapat disembunyi daripada kekuasaannya? (Jawablah) jika kamu mengetahui! (88) Mereka akan menjawab: (Segala-galanya) dikuasai Allah. Katakanlah: Jika demikian, bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara yang tidak benar? (89)